Thursday, 26 November 2009

Selamat Hari Raya Aidil Adha!!


Cepat sungguh masa berlalu. Tup..tup..dah nak raya haji dah..insyaAllah hari raya haji tahun ni jatuh pada 27november ie esok..(Hari 2nd med akan menghadapi continuous assessment mereka!! moga Allah permudahkan buat kalian!) Tapi tarikh mungkin juga berubah mengikut kawasan. buat pengetahuan semua, bulan Zulhijjah ini turut menjanjikan ibadah yang banyak pahalanya. Sejak sebulan yang lalu, pengumpulan dana bagi ibadah Qurban telah diuar-uarkan dalam MelayuGalway bagi memberi kesempatan kepada warga Galway melaksanakan ibadah Qurban. Terima kasih kepada kak Yanti Hashim atas usaha yang bernas! ;) Jadi ingin saya kongsikan berkenaan ibadah Qurban sebagai ulangkaji kepada kita semua memandangkan sambutannya hanyalah setahun sekali. Jom baca lebih lanjut!

Qurban berasal daripada kalimah arab ‘qo-ro-ba’, yang bermaksud dekat (karib). Justeru, qurban membawa erti mendekatkan kita pada sang pencipta, Allah azzawajal.

Allah berfirman dalam surah As-Shaffat ayat 101-107 yang bermaksud,
“Maka Kami berikan khabar gembira kepadanya (Ibrahim) dengan (kelahiran) seorang anak yang sangat sabar. Maka, tatkala anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersama samanya (yakni bersama Ibrahim), dia berkata, “Wahai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu.” Anaknya menjawab, “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah, engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.” Maka apabila kedua-duanya telah berserah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipisnya, dan Kami menyerunya, “Wahai Ibrahim! Sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu.” Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini adalah suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.”

Dalam peristiwa ini tatkala Nabi Ibrahim as telah benar-benar berazam dan bertekad untuk menurut apa yang diperintahkan oleh Allah iaitu untuk mengorbankan nabi Ismail anaknya yang tercinta, maka Allah telah menggantikan korban tersebut dengan seekor kambing sebagai gantian untuk dikorbankan, ganjaran dari Allah s.w.t kepada Nabi Ibrahim kerana keikhlasan beliau dalam menunaikan dan melaksanakan perintah Allah.

Terdapat banyak sekali pengajaran dan juga ganjaran yang dapat kita perolehi apabila kita melaksanakan ibadah korban ini antaranya :
1. Peluang bertaqarrub kepada Allah.
“Daging, darah binatang yang dikorbankan tidak sekali-kali sampai kepada Allah. Tetapi yang sampai kepada Allah ialah ketakwaan kamu. Demikianlah Allah hidayahkan kepada kamu dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”. (Surah Al-Haj: 37)

2. Bukti keikhlasan dan ketaatan hamba kepada Allah.
" Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya. Sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia disisi Allah 'Azza wajalla"
( hadis riwayat Thabarani)

3. Ibadah Korban Dapat Menebus Dosa Hamba.
"Hai Fatimah berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atau dosa-dosamu "
( Hadis riwayat Ibnu Hibban )

Selain daripada galakan melakukan ibadah korban, pada hari itu juga kita disunatkan bertakbir, bertahmid serta bertahlill memuji kebesaran Allah dan bersyukur di atas segala nikmat yang diberikan kepada kita. Malah kita sudah pun boleh memulakan bacaan takbir bermula dari Subuh hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah sehinggalah pada waktu Asar 13 Zulhijjah. Mudah-mudahan segala puji-pujian yang kita tujukan kepada Allah di samping ibadah korban yang bakal dilakukan nanti akan diterima oleh Allah dan mendapat ganjaran sebagaimana yang dijanjikan oleh Nya.
~Sumber: Majlis Ugama Islam Singapura, ar-risalah
Wallahualam…

No comments:

Post a Comment