Thursday, 17 September 2009

Jom berhari raya bersama Rasulullah saw



Alhamdulillah, sudah hampir sebulan kita mengerjakan ibadah puasa. Tinggal beberapa hari lagi sebelum laungan takbir Aidilfitri dialunkan.

Saya pasti, ramai yang berasa sedih untuk meninggalkan bulan ini. Bulan pesta ibadah yang pahalanya digandakan. Masakan tidak, setiap amalan sunat sama dengan amalan wajib dan setiap amalan wajib yang dikerjakan digandakan 70 kali ganda. Subhanallah. Maha suci Allah Yang Maha Kaya. Bagaimanapun kita menginginkan bulan ini tidak berakhir, ia tetap akan meninggalkan kita. Terpulang bagaimana kita telah memanfaatkannya. Moga-moga matlamat taqwa itu dapat dicapai dan kita dapat melalui sebelas bulan lagi dengan penuh ketaqwaan kepadaNya. Insya-Allah…

Dalam keghairahan kita semua menyambut Aidilfitri, sunnah baginda Rasul jangan dilupa. Let’s do it the right way this Hari Raya.

"Nabi saw pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliyyah, maka baginda bersabda: “Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri"
(Hadis Riwayat an-Nasai’)

‘Ied Fitri

Dari sudut bahasa:

‘Ied: sesuatu yang berlaku secara berulang-ulang atau suatu hari yang terjadi perkumpulan.
Fitri atau fitrah: sediakala atau sifat asal.

Hari Raya ‘Ied al-fitri adalah salah satu dari hari kebesaran umat Islam yang disambut pada tanggal 1 Syawal setiap tahun bagi menyambut kejayaan umat Islam setelah berjaya menyempurnakan ibadah sepanjang bulan Ramadhan al-Mubarak dan kembali kepada fitrah iaitu sifat asal manusia yang dibenarkan makan dan minum sepanjang hari.

Amalan-amalan sunat pada hari raya ‘Ied al-Fitri.
(1) BERTAKBIR
- Amalan yang disyariatkan berdasarkan firman Allah;
“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur” (al-Baqarah:185)

- Dimulai ketika terbitnya hilal (anak bulan) dan berakhir dengan selesainya ‘Ied iaitu ketika imam selesai dari khutbah (menurut Ibn Taimiyah)
- Ketika di dalam perjalanan untuk solat ‘Ied, disunnahkan juga untuk kita bertakbir sehinggalah apabila solat akan didirikan

(2) MANDI DI PAGI ‘IED

- Disunnahkan mandi di pagi Hari raya iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat ‘Ied al-Fitri.

“Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyah: Baginda saw mandi sebelum berangkat mengerjakan solat ‘Ied”

- Tatacara mandi sunat di pagi Hari Raya ini adalah sama dengan tatacara mandi wajib (janabah)

(3) MAKAN SEBELUM SOLAT ‘IED AL-FITRI

- Disunnahkan untuk menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat ‘Ied al-Fitri.
- Ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari ‘Ied.
- Rasulullah makan kurma dalam jumlah yang ganjil di pagi ‘Ied

Dari Anas b Malik, dia berkata; “Rasulullah saw tidak pergi (ke musolla) pada pagi ‘Ied al-Fitri hingga baginda makan beberapa buah kurma.”
Murajja’ b Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas berkata: “Rasulullah saw memakannya di dalam jumlah yang ganjil”

(3) MEMAKAI PAKAIAN YANG INDAH

- Disunnahkan untuk kita memakai pakaian yang indah-indah pada Hari Raya. (baca: bezakan pakaian indah dengan pakaian baru)

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah berkata: Baginda saw mengenakan pakaian yang paling indah ketika keluar untuk solat ‘Ied. Bahkan baginda mempunyai pakaian khusus yang digunakan hanya untuk solat Jumaat dan ‘Ied.

(4) BERJALAN KAKI MENUJU KE TEMPAT DIKERJAKAN SOLAT ‘IED

- Dianjurkan berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat ‘Ied jika tidak memberatkan.
- Ini sebagaimana yang diriwayatkan dari Ali b Abi Talib ra:

“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju tempat solat ‘Ied dan memakan sesuatu sebelum berangkat”

(5) MENGIKUTI JALAN YANG BERBEZA KETIKA PERGI DAN KEMBALI DARI MENGERJAKAN SOLAT ‘IED.

- Jabir b Abdullah ra berkata;

“Nabi saw melalui jalan yang berbeza pada hari ‘Ied.” (Sahih Bukhari)

*rujukan: Amalan-amalan di Bulan Ramadhan karangan Hafiz Firdaus Abdullah terbitan Jahabersa


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI KEPADA SEMUA!~
SALAM AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN

by:habibah ghazali
link: http://www.facebook.com/profile.php?id=1552274827&ref=nf#/note.php?note_id=154497313707&ref=mf

No comments:

Post a Comment