Tuesday, 27 October 2009

Dapatkan Bidadari Edisi Special!


Kenalkah anda dengan Umar Al-Khattab? Saya pasti ramai yang mengenali Umar malah turut mengagumi peribadi beliau. Tapi ada apa dengan Umar sebenarnya? Jom ikuti kisah Umar!=)

Rasulullah saw sering menceritakan mengenai perjalanannya Mikraj menghadap Allah kepada para sahabat serta perihal syurga yang dijanjikan Allah buat para sahabat. Dikisahkan, sewaktu Rasulullah saw dimikrajkan menghadap Allah swt, Baginda diperlihatkan taman-taman syurga oleh malaikat Jibril. Pada waktu itu, Rasulullah saw melihat sekumpulan bidadari yang sedang berborak bersama. Tetapi, ada seorang bidadari yang begitu berbeza dari yang lain. Bidadari itu menyendiri dan nampak sangat pemalu.

Maka Rasulullah saw bertanya kepada Jibril, “Wahai Jibril! Bidadari siapakah itu?” Malaikat Jibril menjawab, “Bidadari itu diperuntukkan bagi sahabatmu, Umar ra. Pernah suatu hari dia membayangkan syurga yang engkau ceritakan keindahannya. Dia menginginkan untuknya seorang bidadari yang berbeza dari bidadari yang lain. Bidadari yang diinginkannya itu berkulit hitam manis, dahinya tinggi, bahagian atas matanya berwarna merah dan bahagian bawah matanya berwarna biru serta memiliki sifat yang sangat pemalu. Oleh sebab sahabatmu sentiasa mengikut perintah Allah swt, maka saat itu jugalah Allah swt menjadikan seorang bidadari untuknya, sesuai dengan apa yang dikehendakinya.”

SubhanAllah! Begitu hebat seorang yang bergelar Umar Al-Khattab sehingga dijadikan bidadari special untuknya! Bahkan syaitan juga sangat takut dengan Umar. Apabila adanya Umar disitu, syaitan akan lari ketakutan. Berbeza sungguh dengan kita. Barangkali lebih disenangi oleh syaitan, nauzubillah!

Siapa sebenarnya Umar yang hingga dijanjikan Allah bidadari bermata indah itu? Umar Al-Khattab merupakan salah seorang dari sahabat Rasulullah saw. Semenjak beliau memeluk Islam, kaum muslimin seolah mendapat kekuatan yang luar biasa. Selari dengan doa Rasulullah saw,
“Ya Allah, muliakanlah Islam dengan masuknya salah seorang dari dua Umar (Umar bin Khattab atau Amr bin Hisyam/Abu Jahal)”.

Sejak saat itulah kaum muslimin berani untuk solat dan tawaf di Kaabah secara terang-terangan. Dakwah yang dulunya secara sembunyi-sembunyi bertukar menjadi secara terang-terangan. Oleh sebab itu, Umar digelar Al-Farouq, pembeza antara haq dan batil. Umar adalah seorang yang warak, sangat teliti dan hati-hati terhadap dosa sehingga yang sekecil-kecilnya. Bahkan sangat takut kalau termasuk dalam golongan munafik. Seringkali beliau menangis semasa membaca atau mendengar ayat-ayat Al-Quran. Sangat menakjubkan interaksi Umar dengan Al-Quran!

Beliau mempelajari surah Al-Baqarah selama 10 tahun dan kemudian melapor kepada Rasulullah saw,
“Wahai Rasulullah, apakah kehidupanku sudah mencerminkan surah Al-Baqarah? Jikalau belum, aku tidak akan meneruskan ke surah berikutnya.” Rasulullah menjawab, “Sudah...!”

Maka Umar akan mempelajari surah-surah berikutnya sehingga surah-surah tersebut menjadi akhlak beliau. Sangat hebat dan mantap peribadi Umar. Benarlah, peribadi yang hebat akan mendapat hadiah yang hebat dari Allah! Jom kita belajar dari Umar!

~Dipetik dan diolah dari buku New Quantum Tarbiyah oleh Solikhin Abu Izzudin

No comments:

Post a Comment