Saturday, 31 October 2009
Motivasi Dakwah-Galway version
Konsep ‘Dakwah’(mengajak atau menyeru manusia kepada Allah) mungkin telah disalah ertikan oleh segelintir masyarakat Galway. Mereka menganggap dakwah hanya layak untuk ustaz, orang baik dan golongan yang terlibat dengan usrah saja. Namun, ketahuilah bahawa dakwah adalah untuk semua orang. Dakwah itu satu KEWAJIPAN kepada kita termasuk anda yang sedang membaca artikel ini. Ya, anda!=)
Allah berfirman yang bermaksud,
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl:125)
Kita memikul amanah sebagai hamba dan khalifah di bumi Allah. Tetapi Allah tidak sekali-kali membebankan kita dengan sesuatu yang tidak mampu kita lakukan. Allah ciptakan manusia dengan fitrahnya yang cintakan kebaikan. Lihat saja masyarakat Galway yang terkenal dengan sifat murah hati. Kutipan derma kepada Palestine yang dilaksanakan melalui ‘online banking’ mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan. Kita juga ada ‘Open House Raya’ bagi mengeratkan silaturrahim, merancang program-program bermanfaat seperti ‘Galway Excursion’dan macam-macam lagi! Ini jelas menunjukkan bahawa kita senang untuk melakukan kebaikan. Tak merasa terbeban pun malah ikhlas dalam melaksanakan perkara-perkara yang Allah suka! InsyaAllah.
Setiap orang juga mempunyai potensi luar biasa dalam dirinya yang boleh dimanfaatkan untuk Islam. Orang-orang yang hebat berkata-kata, gunakanlah potensi itu untuk mengajak orang kepada Allah. Bagi yang mahir melukis komik atau bersuara merdu, berikanlah peringatan melalui kartun dan hiburan yang mendekatkan orang kepada Allah. Bagi sesiapa yang pandai menulis, gunalah wadah (medium) itu dengan sebaiknya. Dan untuk sesiapa yang rasa dirinya tiada potensi (mesti ada punya, cuma mungkin belum diasah lagi), dalami ilmu-ilmu Allah dan gilap potensi-potensi anda. Alangkah rugi jika potensi ini disia-siakan begitu saja! Percayalah, tidak akan rugi sedikitpun seorang yang bergelar daei. Malah, merekalah orang-orang yang beruntung. Ilmu-ilmu yang disampaikan akan berterusan menjadi amal walaupun setelah meninggal dunia.
Daripada Abi Hurairah (ra), katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam): Apabila mati seorang hamba (manusia) maka terputuslah segala amalannya kecuali 3 perkara: sadakah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang salih yang mendoakannya.(HR Muslim)
Akhir kata, jadikan Rasulullah saw sebagai qudwah hasanah dalam menggapai misi menjadi seorang Daei Professional! =) Rasulullah saw bersabda, “Demi Allah! Andainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku tinggalkan pekerjaan ini, tidak akan aku lepaskan. Sampailah agama ini menang dan berkembang atau aku yang binasa kerananya.”
Wallahualam..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment